Thursday, June 16, 2011

PENGALAMAN BERHARGA

Minggu nie aku ngajar kelas 4E... Mereka ni degil gak..tak nak dgr cakap..Aku pun suruh duduk dalam kumpulan. Alhamdulillah pada mulanya semuannya berjalan dengan lancar. Masa nak buat pembentangan kumpulan...tiba-tiba sorang budak ni buat hal. Koyakkan kertas dan siap tumbuk sorang budak lain.. Aku suruh berhenti, alih-alih aku pula yang kena sound dengan dia..siap ugut lagi tu...

    "Cikgu jangan masuk campur..kalau tak dengan cikgu pun kena"

tergaman aku dengar budak cakap begitu. tak da rasa hormat langsung dengan cikgu..tapi apa pun tak ada apa yang berlaku. nasib baik budak yang kena  tumbuk tu tak melawan dan tak ada cedera parah..semoga tuhan beri aku kekuatan dan ketabahan..

Monday, June 13, 2011

Sekolah Oh Sekolah

Assalamualaikum..sudah lama rasanya blog ini tidak diaktifkan. Rupanya sudah sebulan lebih aku dan rakan-rakan yang lain berpratikum. Terasa rindu pula dengan rakan-rakan yang lain..hehehe.. Apa pun diharapkan semua rakan-rakan yang lain ceria dengan sekolah masing-masing. Rasa takut juga nak mengajar ni...tapi alhamdulillah semua budak-budak dekat sekolah ni baik-baik belaka. senang mengajar, cuma nakal sikit je..huhu

Thursday, March 17, 2011

Tokoh Penulis

Pada semester ini, pelajar Minor Kususasteraan Melayu dikehendaki mengambil subjek Keterampilan Penulis. Keterampilan Penulis merupakan satu  subjek yang mendedahkan para pelajar mengenai dunia penulisan. Dalam subjek ini juga, pelajar dikehendaki membuat tugasan mengenai penulisan. Kumpulan saya telah memilih tokoh penulis Malaysia. Kumpulan saya juga sepakat untuk memilih tokoh penulis Bukhari Lubis. Bukhari Lubis atau dikenali sebagai Prof. Bukhari merupakan pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI. Semasa kami membuat wawancara bersama bersama beliau, saya amat kagum dengan bahasa yang dituturkan oleh beliau.


               Bersama Tokoh Penulis Rizi S.S

Situasi:
Prof: Sebagai orang Melayu kita tidak sepatutnya lupa akan asal-usul kita. Kita mestilah memperjuangkan
         bahasa Melayu kita agar seiring dengan bahasa lain.

Komen:
Walaupun Prof Bukhari Lubis seorang tokoh penulis Sastera Islam, namun beliau juga seorang pejuang bahasa. Beliau turut mahir dalam beberapa bahasa seperti Arab, Itali, Turki, Bahasa Inggeris, Mandailing dan bahasa Melayu sendiri. Namun begitu, beliau masih mengagungkan bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya dan tidak sombong diri akan kelebihan yang dimiliki oleh beliau. Sebab itulah tokoh ini sangat dikagumi oleh ramai pelajar dan sesiapa yang mengenalinya. Penulisan beliau juga menggunakan bahasa Melayu. Walaupun ada sebahagian penulisan beliau dalam pelbagai bahasa, beliau akan menterjemahkannya dalam bahasa Melayu. Oleh itu, sikap beliau mestilah dicontohi oleh penutur bahasa Melayu.

BUDI BAHASA ORANG MELAYU

Pagi ini saya dan rakan-rakan telah pergi ke Kampus untuk menjalankan beberapa urusan. Sebaik sahaja selesai semua urusan kami, kami bergegas untuk pulang ke kolej. Apabila tiba di perhentian bas, kami ingin menaiki bas tersebut. Malangnya kami tidak dibenarkan menaiki bas tersebut. Begitu juga dengan beberapa pelajar yang lain. Ke manakah hilangnya budi bahasa orang Melayu. Kami juga turut dimarahi oleh pemandu
bas tersebut.




Situasi:

Pelajar: Pak cik tunggu.
Pemandu bas: Naik bas belakang (Sambil menutup pintu bas)
Pelajar: Tapi tak penuh lagi pun.
Pemandu bas: Tak reti bahasa ke?

Komen: 
Tindakan pemandu bas tersebut sangat tidak wajar. Bas itu masih terdapat ruang-ruang kosong dan masih boleh di isi dengan beberapa orang pelajar. Tetapi pemandu bas itu tidak mengendahkan kehendak pelajar malah turut memarahi pelajar.Sepatutnya, pemandu bas tersebut menunggu sehingga bas itu penuh dan tidak boleh di isi dengan penumpang lagi. Seandainya pelajar tersebut mempunyai hal kecemasan di kolej, sudah pasti menjadi masalah kepada pelajat tersebut untuk menunggu bas seterusnya dan pulang ke kolej. Pemandu bas perlu tahu akan kehendak pelajar yang sering berkejar masa dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Selain itu juga pemandu bas mestilah mempunyai budi bahasa yang baik semasa berinteraksi dengan penumpangnya.

KATA PEMERI

Dalam percakapan seharian kita, kadang-kala kita tidak menggunakan bahasa dengan betul. Kita sememangnya menggunakan bahasa yang dirasakan lebih difahami. Dalam penggunaan kata pemeri, kita juga seringkali salah menggunakannya. Kata pemeri terbahagi kepada ialah dan adalah. Menurut Nik Safiah Karim, kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama.

contohnya:

Bahasa ialah pertuturan yang digunakan oleh masyarakat untuk berinteraksi.

Pertandingan itu adalah sengit.

Komen:
Menurut Abdullah Hassan, kata pemeri ialah digunakan untuk menyatakan definisi. Manakala kata pemeri adalah digunakan untuk menyatakan atau memerihalkan sesuatu. Kata pemeri ialah hadir di hadapan kata nama. Kata pemeri adalah pula boleh hadir di hadapan kata adjektif, kata kerja, dan kata tanya. Oleh itu sebagai penutur bahasa Melayu kita mestilah menggunakan bahasa dengan betul dan baik. Jika kita tidak pasti akan hal tersebut, rujuklah Tatabahasa Dewan.

Monday, March 14, 2011

PERTANDINGAN PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU PIALA PERDANA MENTERI


Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana  Menteri @ PABM adalah satu acara tahunan pidato Bahasa Melayu yang terulung. Matlamat pertandingan ini adalah memartabatkan
kedaulatan bahasa Melayu di persada dunia. Pertandingan ini telah diadakan pada 8-11 Mac 2011 di PICC Putrajaya, Malaysia. 

Tema pertandingan pada tahun ini adalah “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu” Tema ini amat bertepatan dengan matlamat dan kehendak penganjuran pertandingan ini, iaitu untuk membuktikan bahasa Melayu telah bersemarak dan diterima pakai di seluruh pelosok dunia. Pertandingan ini turut di sertai oleh pelajar antarabangsa yang bukan berbangsa Melayu. Lima daripada peserta terlibat berentap untuk kategori antarabangsa yang terdiri daripada peserta Rusia, China, Turki, Australia dan Korea Selatan. Selebihnya adalah peserta dari Malaysia, Singapura dan Brunei untuk kategori nusantara. 

                                                            Antara Pemidato
Komen:
Pertandingan seumpama ini bertujuan memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.Hal ini membolehkan negara di luar Nusantara mengenali serta mempelajari bahasa Melayu yang sering digunakan oleh negara di Asia Tenggara. Pendedahan melalui pertandingan itu secara tidak langsung dapat menarik minat bangsa lain untuk lebih mendalami keunikan dan keindahan bahasa Melayu berserta budaya yang penuh dengan kesopanan. Bagi memastikan matlamat itu dicapai, rakyat Malaysia sebagai penutur bahasa Melayu asli di rantau ini perlu bekerjasama dalam meningkatkan usaha memperkasakan penggunaan dan penguasaan bahasa ibunda terlebih dahulu.
Oleh itu, rakyat Malaysia amnya dan masyarakat Melayu khususnya tidak perlu malu bercakap dalam bahasa Melayu apabila berkomunikasi dengan orang luar. Orang ramai juga tidak perlu segan silu menggunakannya apabila berurusan dalam perkara-perkara formal yang selalunya menggunakan Bahasa Inggeris. Hal ini demikian kerana, bagi mengelakkan bahasa Melayu terus terpinggir dan ketinggalan dalm era moden ini. Jika semua rakyat menghargai dan cintakan bahasa Melayu, ia bukan sahaja dapat menyelamatkan bahasa itu malah menyerlahkan jati diri penutur asal untuk mengukuhkan penguasaan bahasa dan identiti bangsa.

         Secara tidak langsung, tindakan berani itu mampu mengangkat martabat bahasa Melayu bukan sahaja sebagai bahasa pengantara tetapi sebagai bahasa ilmu. Diharapkan masyarakat Melayu di negara Malaysia juga mempunyai semangat untuk bercakap dalam bahasa Melayu dengan betul dan tidak segan-silu semasa mengujarnya.





Teguran yang Membina atau Teguran yang Mematahkan Semangat

Petang tadi, selepas pulang dari kelas, saya dan rakan saya yang lain berbual di perhentian bas sementara menunggu ketibaan bas kitaran. Dalam asyik berbual, kami dikejutkan dengan bunyi yang agak kuat. Semua pelajar yang berada di sekitar tersebut berpaling ke arah bunyi tersebut. Saya mendapati bahawa, satu kemalangan hampir sahaja berlaku antara sekumpulan pelajar dengan sebuah kereta proton Wira. Tetapi disebabkan pemandu itu sempat menekan pedal brek menyebabkan kereta itu berhenti dengan mengejut. Walaupun saya dan rakan-rakan yang lain tidak dapat menyaksikan perkara sebenarnya yang berlaku saya yakin sekumpulan pelajar tersebut melintas jalan tanpa melihat ke arah kanan terlebih dahulu. Sebaik sahaja kejadian itu berlaku saya terdengar perkataan-perkataan yang kurang enak daripada beberapa pelajar yang berada di sekitar tersebut.

Situasi:
Oi buta ke? Ada mata letak kat mana?
Gila dah kot sampai kereta pun tak nampak.
Belajar tinggi-tinggi, nak lintas jalan pun tak reti lagi. Biar tak payah masuk “U”.
Buka mata tu luas-luas, tengok jalan. Asyik bersembang je…

Komen:
Itulah kata-kata yang sempat saya dengar. Saya sedar dan tahu, mereka amat marah kepada sekumpulan pelajar tersebut kerana semasa ingin melintas jalan mereka sempat bergurau- senda menyebabkan mereka alpa. Namun begitu sebagai pelajar, kita mestilah memberi teguran yang membina kepada sekumpulan pelajar tersebut. Kata-kata yang dilemparkan oleh beberapa orang pelajar tersebut boleh menjatuhkan maruah dan mematahkan semangat sekumpulan pelajar tadi. Sebaiknya kata-kata yang membina dan teguran serta nasihat yang sepatutnya perlua diutarakan. Misalnya:
“Lain kali berhati-hati sewaktu melintas jalan”
“Lihatlah kanan dan kiri terlebih dahulu sebelum melintas”
Nasihat dan teguran seumpama ini membolehkan sekumpulan pelajar tersebut akan lebih berhati-hati pada masa akan datang. Oleh itu diharapkan sebagai bakal pendidik kita sentiasa menasihati rakan yang lain agat dapat membina mereka ke arah yang lebih baik.