Monday, March 14, 2011

PERTANDINGAN PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU PIALA PERDANA MENTERI


Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana  Menteri @ PABM adalah satu acara tahunan pidato Bahasa Melayu yang terulung. Matlamat pertandingan ini adalah memartabatkan
kedaulatan bahasa Melayu di persada dunia. Pertandingan ini telah diadakan pada 8-11 Mac 2011 di PICC Putrajaya, Malaysia. 

Tema pertandingan pada tahun ini adalah “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu” Tema ini amat bertepatan dengan matlamat dan kehendak penganjuran pertandingan ini, iaitu untuk membuktikan bahasa Melayu telah bersemarak dan diterima pakai di seluruh pelosok dunia. Pertandingan ini turut di sertai oleh pelajar antarabangsa yang bukan berbangsa Melayu. Lima daripada peserta terlibat berentap untuk kategori antarabangsa yang terdiri daripada peserta Rusia, China, Turki, Australia dan Korea Selatan. Selebihnya adalah peserta dari Malaysia, Singapura dan Brunei untuk kategori nusantara. 

                                                            Antara Pemidato
Komen:
Pertandingan seumpama ini bertujuan memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.Hal ini membolehkan negara di luar Nusantara mengenali serta mempelajari bahasa Melayu yang sering digunakan oleh negara di Asia Tenggara. Pendedahan melalui pertandingan itu secara tidak langsung dapat menarik minat bangsa lain untuk lebih mendalami keunikan dan keindahan bahasa Melayu berserta budaya yang penuh dengan kesopanan. Bagi memastikan matlamat itu dicapai, rakyat Malaysia sebagai penutur bahasa Melayu asli di rantau ini perlu bekerjasama dalam meningkatkan usaha memperkasakan penggunaan dan penguasaan bahasa ibunda terlebih dahulu.
Oleh itu, rakyat Malaysia amnya dan masyarakat Melayu khususnya tidak perlu malu bercakap dalam bahasa Melayu apabila berkomunikasi dengan orang luar. Orang ramai juga tidak perlu segan silu menggunakannya apabila berurusan dalam perkara-perkara formal yang selalunya menggunakan Bahasa Inggeris. Hal ini demikian kerana, bagi mengelakkan bahasa Melayu terus terpinggir dan ketinggalan dalm era moden ini. Jika semua rakyat menghargai dan cintakan bahasa Melayu, ia bukan sahaja dapat menyelamatkan bahasa itu malah menyerlahkan jati diri penutur asal untuk mengukuhkan penguasaan bahasa dan identiti bangsa.

         Secara tidak langsung, tindakan berani itu mampu mengangkat martabat bahasa Melayu bukan sahaja sebagai bahasa pengantara tetapi sebagai bahasa ilmu. Diharapkan masyarakat Melayu di negara Malaysia juga mempunyai semangat untuk bercakap dalam bahasa Melayu dengan betul dan tidak segan-silu semasa mengujarnya.





No comments:

Post a Comment