Thursday, March 17, 2011

Tokoh Penulis

Pada semester ini, pelajar Minor Kususasteraan Melayu dikehendaki mengambil subjek Keterampilan Penulis. Keterampilan Penulis merupakan satu  subjek yang mendedahkan para pelajar mengenai dunia penulisan. Dalam subjek ini juga, pelajar dikehendaki membuat tugasan mengenai penulisan. Kumpulan saya telah memilih tokoh penulis Malaysia. Kumpulan saya juga sepakat untuk memilih tokoh penulis Bukhari Lubis. Bukhari Lubis atau dikenali sebagai Prof. Bukhari merupakan pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI. Semasa kami membuat wawancara bersama bersama beliau, saya amat kagum dengan bahasa yang dituturkan oleh beliau.


               Bersama Tokoh Penulis Rizi S.S

Situasi:
Prof: Sebagai orang Melayu kita tidak sepatutnya lupa akan asal-usul kita. Kita mestilah memperjuangkan
         bahasa Melayu kita agar seiring dengan bahasa lain.

Komen:
Walaupun Prof Bukhari Lubis seorang tokoh penulis Sastera Islam, namun beliau juga seorang pejuang bahasa. Beliau turut mahir dalam beberapa bahasa seperti Arab, Itali, Turki, Bahasa Inggeris, Mandailing dan bahasa Melayu sendiri. Namun begitu, beliau masih mengagungkan bahasa Melayu sebagai bahasa ibundanya dan tidak sombong diri akan kelebihan yang dimiliki oleh beliau. Sebab itulah tokoh ini sangat dikagumi oleh ramai pelajar dan sesiapa yang mengenalinya. Penulisan beliau juga menggunakan bahasa Melayu. Walaupun ada sebahagian penulisan beliau dalam pelbagai bahasa, beliau akan menterjemahkannya dalam bahasa Melayu. Oleh itu, sikap beliau mestilah dicontohi oleh penutur bahasa Melayu.

BUDI BAHASA ORANG MELAYU

Pagi ini saya dan rakan-rakan telah pergi ke Kampus untuk menjalankan beberapa urusan. Sebaik sahaja selesai semua urusan kami, kami bergegas untuk pulang ke kolej. Apabila tiba di perhentian bas, kami ingin menaiki bas tersebut. Malangnya kami tidak dibenarkan menaiki bas tersebut. Begitu juga dengan beberapa pelajar yang lain. Ke manakah hilangnya budi bahasa orang Melayu. Kami juga turut dimarahi oleh pemandu
bas tersebut.




Situasi:

Pelajar: Pak cik tunggu.
Pemandu bas: Naik bas belakang (Sambil menutup pintu bas)
Pelajar: Tapi tak penuh lagi pun.
Pemandu bas: Tak reti bahasa ke?

Komen: 
Tindakan pemandu bas tersebut sangat tidak wajar. Bas itu masih terdapat ruang-ruang kosong dan masih boleh di isi dengan beberapa orang pelajar. Tetapi pemandu bas itu tidak mengendahkan kehendak pelajar malah turut memarahi pelajar.Sepatutnya, pemandu bas tersebut menunggu sehingga bas itu penuh dan tidak boleh di isi dengan penumpang lagi. Seandainya pelajar tersebut mempunyai hal kecemasan di kolej, sudah pasti menjadi masalah kepada pelajat tersebut untuk menunggu bas seterusnya dan pulang ke kolej. Pemandu bas perlu tahu akan kehendak pelajar yang sering berkejar masa dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Selain itu juga pemandu bas mestilah mempunyai budi bahasa yang baik semasa berinteraksi dengan penumpangnya.

KATA PEMERI

Dalam percakapan seharian kita, kadang-kala kita tidak menggunakan bahasa dengan betul. Kita sememangnya menggunakan bahasa yang dirasakan lebih difahami. Dalam penggunaan kata pemeri, kita juga seringkali salah menggunakannya. Kata pemeri terbahagi kepada ialah dan adalah. Menurut Nik Safiah Karim, kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama.

contohnya:

Bahasa ialah pertuturan yang digunakan oleh masyarakat untuk berinteraksi.

Pertandingan itu adalah sengit.

Komen:
Menurut Abdullah Hassan, kata pemeri ialah digunakan untuk menyatakan definisi. Manakala kata pemeri adalah digunakan untuk menyatakan atau memerihalkan sesuatu. Kata pemeri ialah hadir di hadapan kata nama. Kata pemeri adalah pula boleh hadir di hadapan kata adjektif, kata kerja, dan kata tanya. Oleh itu sebagai penutur bahasa Melayu kita mestilah menggunakan bahasa dengan betul dan baik. Jika kita tidak pasti akan hal tersebut, rujuklah Tatabahasa Dewan.

Monday, March 14, 2011

PERTANDINGAN PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU PIALA PERDANA MENTERI


Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana  Menteri @ PABM adalah satu acara tahunan pidato Bahasa Melayu yang terulung. Matlamat pertandingan ini adalah memartabatkan
kedaulatan bahasa Melayu di persada dunia. Pertandingan ini telah diadakan pada 8-11 Mac 2011 di PICC Putrajaya, Malaysia. 

Tema pertandingan pada tahun ini adalah “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu” Tema ini amat bertepatan dengan matlamat dan kehendak penganjuran pertandingan ini, iaitu untuk membuktikan bahasa Melayu telah bersemarak dan diterima pakai di seluruh pelosok dunia. Pertandingan ini turut di sertai oleh pelajar antarabangsa yang bukan berbangsa Melayu. Lima daripada peserta terlibat berentap untuk kategori antarabangsa yang terdiri daripada peserta Rusia, China, Turki, Australia dan Korea Selatan. Selebihnya adalah peserta dari Malaysia, Singapura dan Brunei untuk kategori nusantara. 

                                                            Antara Pemidato
Komen:
Pertandingan seumpama ini bertujuan memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.Hal ini membolehkan negara di luar Nusantara mengenali serta mempelajari bahasa Melayu yang sering digunakan oleh negara di Asia Tenggara. Pendedahan melalui pertandingan itu secara tidak langsung dapat menarik minat bangsa lain untuk lebih mendalami keunikan dan keindahan bahasa Melayu berserta budaya yang penuh dengan kesopanan. Bagi memastikan matlamat itu dicapai, rakyat Malaysia sebagai penutur bahasa Melayu asli di rantau ini perlu bekerjasama dalam meningkatkan usaha memperkasakan penggunaan dan penguasaan bahasa ibunda terlebih dahulu.
Oleh itu, rakyat Malaysia amnya dan masyarakat Melayu khususnya tidak perlu malu bercakap dalam bahasa Melayu apabila berkomunikasi dengan orang luar. Orang ramai juga tidak perlu segan silu menggunakannya apabila berurusan dalam perkara-perkara formal yang selalunya menggunakan Bahasa Inggeris. Hal ini demikian kerana, bagi mengelakkan bahasa Melayu terus terpinggir dan ketinggalan dalm era moden ini. Jika semua rakyat menghargai dan cintakan bahasa Melayu, ia bukan sahaja dapat menyelamatkan bahasa itu malah menyerlahkan jati diri penutur asal untuk mengukuhkan penguasaan bahasa dan identiti bangsa.

         Secara tidak langsung, tindakan berani itu mampu mengangkat martabat bahasa Melayu bukan sahaja sebagai bahasa pengantara tetapi sebagai bahasa ilmu. Diharapkan masyarakat Melayu di negara Malaysia juga mempunyai semangat untuk bercakap dalam bahasa Melayu dengan betul dan tidak segan-silu semasa mengujarnya.





Teguran yang Membina atau Teguran yang Mematahkan Semangat

Petang tadi, selepas pulang dari kelas, saya dan rakan saya yang lain berbual di perhentian bas sementara menunggu ketibaan bas kitaran. Dalam asyik berbual, kami dikejutkan dengan bunyi yang agak kuat. Semua pelajar yang berada di sekitar tersebut berpaling ke arah bunyi tersebut. Saya mendapati bahawa, satu kemalangan hampir sahaja berlaku antara sekumpulan pelajar dengan sebuah kereta proton Wira. Tetapi disebabkan pemandu itu sempat menekan pedal brek menyebabkan kereta itu berhenti dengan mengejut. Walaupun saya dan rakan-rakan yang lain tidak dapat menyaksikan perkara sebenarnya yang berlaku saya yakin sekumpulan pelajar tersebut melintas jalan tanpa melihat ke arah kanan terlebih dahulu. Sebaik sahaja kejadian itu berlaku saya terdengar perkataan-perkataan yang kurang enak daripada beberapa pelajar yang berada di sekitar tersebut.

Situasi:
Oi buta ke? Ada mata letak kat mana?
Gila dah kot sampai kereta pun tak nampak.
Belajar tinggi-tinggi, nak lintas jalan pun tak reti lagi. Biar tak payah masuk “U”.
Buka mata tu luas-luas, tengok jalan. Asyik bersembang je…

Komen:
Itulah kata-kata yang sempat saya dengar. Saya sedar dan tahu, mereka amat marah kepada sekumpulan pelajar tersebut kerana semasa ingin melintas jalan mereka sempat bergurau- senda menyebabkan mereka alpa. Namun begitu sebagai pelajar, kita mestilah memberi teguran yang membina kepada sekumpulan pelajar tersebut. Kata-kata yang dilemparkan oleh beberapa orang pelajar tersebut boleh menjatuhkan maruah dan mematahkan semangat sekumpulan pelajar tadi. Sebaiknya kata-kata yang membina dan teguran serta nasihat yang sepatutnya perlua diutarakan. Misalnya:
“Lain kali berhati-hati sewaktu melintas jalan”
“Lihatlah kanan dan kiri terlebih dahulu sebelum melintas”
Nasihat dan teguran seumpama ini membolehkan sekumpulan pelajar tersebut akan lebih berhati-hati pada masa akan datang. Oleh itu diharapkan sebagai bakal pendidik kita sentiasa menasihati rakan yang lain agat dapat membina mereka ke arah yang lebih baik.

Jati Diri


Saya berasal daripada Alor Star, Kedah. Saya merupakan anak jati Kedah. Walaupun saya belajar di Tanjong Malim, Perak, saya masih menggunakan dialek Kedah semasa bertutur dengan rakan-rakan yang lain. Walaupun saya bertutur dalam dialek daerah saya, hal ini tidak bermakna saya tidak faham akan dialek negeri lain. Saya tetap berbangga menjadi anak Kedah kerana dialeknya mempunyai keunikannya yang tersendiri. Walaupun kadang-kala terdapat pihak yang mentertawakan dialek daerah Kedah kerana bagi mereka terdapat sesetengah perkataan dan bunyinya yang begitu lucu. Namun saya tidak mudah terasa hati kerana saya tahu dialek saya adalah yang terbaik. Negeri Kedah mempunyai lagunya yang tersendiri. Misalnya Seloka Negeri Kedah, Lagu Negeri Kedah, Hijau Kuning dan banyak lagi.

Lirik Lagu Seloka Negeri Kedah
mai cek oi mai cek mai
kita ke negeqhi Kedah
mai oi bagi qhamai
jamu nasik kawah c/0

naik kapai teqhebang
tuqhun kepala batayh
makan toksah bimbang
kami banyak beqhayh

ikut lebuhqhaya
teqhuih ke Kayu Hitam
jaga cek oi jaga
qheta meneqhu-neqhang
qheta meneqhu-meneqhang

mengkala mai kedah
singgah lah ke Pekan Qhabu
minum nira nipah
makan emping keqhabu

kot lah qhasanya penat
jom pi ke langkawi
langgah ayaq gamat
minumlah ayaq tongkat ali
langgah ayaq gamat
muka naik seqhi

Kedah sudahla maju
tak lagi macam lah dulu
qhumah seqheba baqhu
kenduri ada selalu

tengok sana sini
pembangunan seqhata negeqhi
ada mesin padi
ada kelang besi

melawak oqhang Kedah
jangan cepat teqhasa
toksah dok kesah
bekawan cepat meseqha 2x

Lirik Lagu Negeri Kedah
Allah Selamat Sultan Mahkota
Berpanjangan Usia Di Atas Takhta
Memelihara Agama Nabi Kita
Negeri Kedah Serata-rata

Komen:
Oleh itu sebagai masyarakat dalam sesuatu negeri, kita mestilah berbangga dengan dialek negeri kita sendiri. Walaupun kita berada di mana sahaja, jangan sesekali kita lupa akan jati diri kita sendiri. Ke mana kita pergi, ke tempat asal juga kita akan pulang.

Saturday, March 12, 2011

Kata penegas

Dalam bahasa Melayu, kita mempunyai kata penegas yang tersendiri. Misalnya partikel -lah. Penggunaan kata penegas ini adalah betul dalam ayat bahasa Melayu. Namun pada hari ini, kata penegas dalam bahasa Melayu telah berubah. Penguna bahasa Melayu dengan sewenang-wenangnya menggunakan kata penegas yang dirasakannnya sedap didengar. Kata penegas baharu adalah "gila".

situasi:

"Pandai gila budak tu"

"Wei lapaq gila ni"

"Laju gila dia bawak keta"

"Jauh gila dia tendang bola tu"

Komen:
Penggunaan kata penegas "gila" ini semakin tersebar luas dalam kalangan penutur bahasa Melayu. Apa-apa sahaja yang diujarnya pasti akan menggunakan kata penegas "gila". Walaupun kata penegas ini salah daripada hukum bahasa Melayu, tetapi di situ perkataan gila nampak penegasannya. tidak mustahil pada masa akan datang kata gila akan menjadi kata penegas yang baharu dalam penggunaan bahasa Melayu.